Bilangan warga asing yang mendapat kewarganegara Malaysia pada tahun 2007, 2008, 2009 dan 2010

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN

No. Soalan 44

Pertanyaan  :  Lisan

Daripada       :  Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]

Tarikh            :  28 Jun 2011

Rujukan        :  3801

Soalan :

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan bilangan warga asing yang mendapat kewarganegaraan Malaysia pada tahun 2007, 2008, 2009 dan 2010. Sila nyatakan negara asal pemohon yang berjaya tersebut dan nyatakan asas pertimbangan Kementerian terhadap kesemua permohonan tersebut.

Jawapan :

 Tuan Yang Dipertua,

Terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Seputeh yang bertanyakan soalan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, jumlah warga asing yang bertaraf Pemastautin Tetap dan dianugerahkan Taraf Kewarganegaraan Malaysia bagi tahun 2007 hingga 2010 adalah sebanyak 12,813 orang iaitu di bawah Perkara 15(1) dan Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Yang Dipertua,

Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia kepada warga asing adalah berdasarkan peruntukan undang-undang seperti yang termaktub  di dalam Jadual Kedua, Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan. Syarat dan kelayakan permohonan adalah bergantung kepada kategori permohonan mengikut Perkara di dalam Perlembangan Persekutuan.

Secara amnya, penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia mengambil kira tempoh bermastautin seseorang Penduduk Tetap di Malaysia serta sejauh mana mereka telah berakar umbi di negara ini dan menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.

Di samping itu, berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan di dalam Bahasa Melayu adalah merupakan syarat kelayakan asas bagi melayakkan rakyat asing untuk memohon Taraf Kewarganegaraan Malaysia. Dalam konteks ini, berlakuan baik adalah merujuk kepada tatakelakuan serta tindakan yang tidak mendatangkan mudarat atau ancaman kepada kesejahteraan dan keselamatan negara, menpunyai semangat cintakan negara dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan Negara, menghormati agama, budaya dan adat resam masyarakat berbilang kaum di Malaysia serta tidak mempunyai sebarang perlakuan negatif yang boleh menjejaskan permohonan kewarganegaraannya.

Posted on June 29, 2011, in Parliament. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Comments are closed.

%d bloggers like this: