Teresa Kok: Penentang Bersih 2.0 kurang cerdik

KUALA LUMPUR, 20 JUN – Penentang perhimpunan Bersih 2.0 adalah mereka yang lembab akal, kerana tidak memahami undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub untuk semua rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Katanya undang-undang membenarkan rakyat Malaysia berhimpun secara aman untuk menuntut hak.

Beliau juga turut mencadangkan kepada Pemuda UMNO dan kumpulan ultra Melayu Perkasa supaya mengadakan “perhimpunan menuntut pilihan raya kotor” pada hari yang lain sahaja.

Teresa berkata demikian di hadapan lebih 1,000 orang pada majlis pelancaran Bersih 2.0 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan menafikan desas desus kononnya perhimpunan yang sudah dirancang pada 9 Julai itu akan dibatalkan.

“Bersih 2.0 tetap akan berjalan secara aman dan penuh bertanggungjawab kerana kita sudah lihat apa yang terjadi pada pilihan raya negeri Sarawak lalu ternyata penuh dengan rasuah dan kekotoran,” katanya.

Tambah Ambiga, Bersih bukan lah sebuah NGO yang dikuasai oleh mana-mana parti politik.

“Bersih adalah milik rakyat Malaysia yang mahukan pilihan raya bersih… Oleh itu kita mengalu-alukan semua parti politik untuk turun bersama pada 9 Julai depan,” katanya.

Pada 16 Jun, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengumumkan pergerakan itu juga akan mengadakan demonstrasi pada hari yang sama dengan perhimpunan Bersih, lantas mencetuskan perdebatan di kalangan ahli UMNO sendiri.

Ambiga mempelawa kesemua pergerakan yang mempunyai kepekaan politik termasuk UMNO dan BN supaya turun bersama menuntut pilihan raya yang adil.

Majlis yang tamat sekitar jam 10.30 malam itu dihadiri wakil dari puluhan NGO, terdiri daripada kesatuan pekerja sehingga persatuan pelajar itu turut diwakili Pakatan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Jawatankuasa PAS pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Pertubuhan-pertubuhan perkauman seperti Perkasa yang menolak pilihan raya adil dan bersih telah mengancam keselamatan rakyat dan negara untuk menentang perhimpunan aman Bersih dengan mengadakan demonstrasi saingan pada hari yang sama.
Semalam, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali telah melancarkan serangan peribadi yang perkauman terhadap Ambiga dengan menuduh bekas Presiden Majlis Peguam itu sebagai ‘Wanita Hindu yang merbahaya.’

Lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, juga telah membuat ancaman serta serangan liar dan tidak berasas terhadap usaha murni rakyat prihatin menuntunt pilihan raya yang adil dan bersih. – Roketkini.com

http://roketkini.com/2011/06/20/teresa-kok-penentang-bersih-2-0-kurang-cerdik/

Posted on June 20, 2011, in Happenings. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Comments are closed.

%d bloggers like this: