DAP Sertai Umno : Dakwaan Bekas Pengerusi Bercanggah Jumlah Sebenar Ahli

PUCHONG 6 JUN: Tidak pernah timbul keinginan untuk menyertai Umno apatah lagi membuat dakwaan bahawa mereka merasa terpinggir dalam parti yang dipimpin dan dianggotai majoriti bukan Melayu di negara ini. 

Itu tegas Pengerusi baru DAP cawangan Lembah Kinrara apabila timbul dakwaan bahawa 64 ahli DAP berbangsa Melayu di kawasan itu bertindak keluar parti dan menyertai Umno kerana menyedari parti itu tidak memberi kepentingan kepada masyarakat Bumiputera.

“ Di sini saya bersama dengan rakan-rakan Melayu DAP di Lembah Kinrara ingin menegaskan bahawa kami langsung tidak pernah dimaklumkan tentang penyertaan kami dalam Umno, dan kami merasa hairan kenapakah Pak Harun (Harun Abdul Wahab) mengheret kami tanpa kebenaran dan pengetahuan kami,”soalnya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Akhir bulan lalu, bekas pengerusi DAP cawangan Lembah Kinrara, Harun Abdul Wahab mendakwa 63 ahli Melayu DAP di Lembah Kinrara bertindak menyertai Umno bersama-samanya.

Malah mendakwa kehadiran ahli DAP Melayu di kawasan itu hanyalah semata-mata sebagai ‘pencukup kuota’ untuk parti itu menunjukkan bahawa ada orang Melayu yang menyokong DAP.

Walau bagaimanapun menurut Azhar, mengikut siasatannya hanya beberapa ahli yang mengikut jejak Harun menyertai parti itu dengan menyerahkan keahlian pada Majlis Mesyuarat Mingguan Umno bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Dagangan Dunia pada 31 Mei lalu.

Pada majlis tersebut, beliau mewakili 63 yang lain menyerahkan borang keahlian Umno kepada Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Malah jelas Azhar, tidak pernah timbul isu bahawa ahli parti itu merasa terpinggir dengan layanan yang diberikan oleh kepimpinan DAP di kawasan itu termasuk dari ADUN kawasan itu, Teresa Kok.

Bahkan ujarnya, pelbagai skim yang disediakan oleh kerajaan negeri di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti skim mikro kredit, tuisyen percuma, sumbangan kepada warga emas dan golongan miskin, seminar keusahawanan dan pelbagai lagi sudah cukup untuk meringankan beban penduduk yang dihimpit dengan kenaikan harga barangan yang tidak terkawal di bawah pemerintahan Umno-BN.

“Kami ahli Melayu DAP tetap tolak Umno yang asyik memainkan isu kaum, agama dan merosakkan masyarakat di negara kita ini. Kami sokong perjuangan DAP yang menjaga kepentingan semua kaum dan kami akan terus bersama dengan DAP,”tegas beliau.

Sementara itu  ADUN Kinrara yang juga Exco kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok Kinrara berkata, jumlah orang Melayu yang menjadi ahli DAP Lembah Kinrara ialah 60 orang.

Beliau hairan dengan kenyataan bekas pengerusi cawangan itu, Harun Abdul Wahab bahawa sebanyak 64 ahli DAP menyertai Umno.

“Kalau mengikut data dalam sistem, maklumat di ibu pejabat DAP di cawangan Lembah Kinrara kita hanya ada 60 oarang sahaja.

“Jadi saya rasa hairanlah di mana datangnya 64 ahli DAP. Jadi maklumat ini tidak betul. Ini ada laporan dari Utusan Malaysia yang dikatakan mengikut bekas Pengerusi Cawangan ini iaitu Encik Harun yang kata lebih 100 penduduk yang jadi ahli DAP cawangan Lembah Kinrara dijangka mengikut jejak mereka dalam masa terdekat. Ini tidak betul. Ahli DAP Melayu di kawasan ini hanya 60 orang,” tegas Teresa lagi.

Malah ujarnya, DAP akan terus menjaga kebajikan ahlinya tanpa mengira kaum.

Bahkan katanya, laporan seumpama itu hanya menguatkan lagi usaha DAP untuk menjalankan kempen menambah ahli termasuk dari kalangan masyarakat Melayu.

http://www.tvsnews.net/content.php?d=mn&sub=&mod=cont_dn&menu_id=&id=6049&menu=&mid=

Posted on June 7, 2011, in In news. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Comments are closed.

%d bloggers like this: