Pemilihan PAS – Wajah Baru Yang Menakutkan Umno

KOMENTAR : Ada yang menyifatkanya  sebagai kemenangan untuk kumpulan profesional dan kekalahan untuk golongan ulama.
Tidak kurang pula tafsiran bahawa kemenangan “kumpulan Erdogan” dalam pemilihan PAS semalam sekali gus menempelak cubaan Umno untuk “meminang” PAS, khususnya sejak beberapa bulan lalu.
Apa pun,  yang jelas ialah PAS sekali lagi telah menunjukkan kematangan untuk  memilih pasukan terbaik bagi mengetuai cabaran menghadapi  pilihanraya umum ke 13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Berlainan dengan  Umno, PAS tidak  menangguhkan pemilihan parti semata- mata kerana khuatir saingan untuk jawatan akan memecah belahkan parti dan menggugat peluangnya dalam PRU.
Sebaliknya pucuk pimpinan PAS begitu yakin terhadap kematangan  perwakilan DAN calon untuk merapatkan saf dengan selesainya pemilihan yang dijalankan dalam semangat demokrasi dan musyarawah.
Kecenderungan untuk menyifatkan PAS sebagai parti yang kini dikuasai oleh golongan professional berpaksi kepada kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden dan Husam Musa sebagai Naib Presiden baru.
Mohamad Sabu  kini diangkat sebagai orang pertama dari golongan bukan ulama yang menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam tempoh 20 tahun.
Nasharuddin Mat Isa tersingkir sebagai orang kedua parti manakala tokoh ulama Tuan Ibrahim Tuan Man juga kecundang kepada Mohamad Sabu.
Untuk  Naib Presiden, selain Husam, Sallehuddin Ayob dan Mahfuz Omar melengkapkan senarai jawatan itu apabila mengekalkan kerusi mereka.
Kemenangan beberapa tokoh lain seperti Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkfli Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar untuk menduduki Jawatankuasa Kerja Pusat juga disabitkan sebagai bukti PAS dalam genggaman profesional.
Media arus perdana khususnya Utusan Malaysia akan cuba memaparkan PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai golongan ulama. Tentunya modal ini akan diambil oleh Umno untuk dijual pula kepada pengundi.
Namun, walaupun bertukar nakoda (itu pun peringkat Timbalan dan ke bawah sahaja) hala tuju PAS tetap sebagaimana yang terpacak dalam matlamat perjuangannya.
Perwakilan yang memilih golongan “profesional” atau Erdogan yakin calon- calon berkenan mempunyai ketokohan untuk memacu PAS menghadapi PRU-13 tanpa melunturkan azam dan matlamat perjuangan parti.
Kesemua yang dipilih sebenarnya sebati dengan perjuangan PAS – Mohamad Sabu, Husam dan yang lain-lain adalah orang lama yang bergerak sealliran dengan liku-liku perjuangan PAS.
Mereka adalah veteran dalam parti yang faham sentimen akar umbi PAS dan pada masa sama mempunyai sifat dinamis untuk berkerjasama dalam kerangka Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat PAS membangun negara berkebajikan.
Konsep negara berkebajikan ini sudah pun dicanang oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai bukti kononnya PAS sudah mengubah haluan dan kononnya mengabaikan penubuhan sebuah negara Islam, apatah lagi di bawah PAS pimpinan golongan professional.
Kedua- dua akhbar itu seharusnya memerinci nilai- nilai yang disebutkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang Hadi dalam ucapan dasarnya dan membuktikan bagaimana penubuhan sebuah negara berkebajikan bercanggah dengan syariat Islam.
“Kita mulakan dengan perlaksanaan negara berkebajikan, ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut negara Islam, ia sebut negara berkebajikan,” kata Hadi dalam sidang medianya semalam.
Konsep negara berkebajikan  didokong dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, bermakna ia turut dipersetujui oleh DAP.
Kemunculan pemimpin- pemimpin seperti Hadi, Mohamad Sabu, Husam dan yang lain hadir berkongsi pentas dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh untuk menerangkan penubuhan negara berkebajikan kepada umat Islam dan bukan Islam tentunya menjadikan Umno dan akhbar miliknya gusar dan cemas.
Justeru kerana itulah Utusan dan Berita Harian akan menjaja PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai oleh ulama, malah sudah mengubah matlamat perjuangannya.
Sebelum  pemilihan PAS semalam, Utusan Malaysia cuba secara licik untuk membawa mesej- mesej tertentu untuk mempengaruhi perwakilan parti dalam memilih calon.
Utusan yang sering menyerang Islam yang dibawa oleh PAS tiba-tiba mengingatkan keperluan parti itu supaya meneruskan perjuangan dan matlamatnya dengan pimpinan ulama.
Memang hebat transformasi Utusan walaupun ia hanya untuk memastikan agenda sempit Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS tidak kecundang. Namun akhirnya rancangan Utusan-Umno itu nampaknya gagal juga.
Pemilihan muka-muka baru termasuk Mohamad Sabu dan Husam bermakna mereka kini memikul tanggungjawab besar untuk membantu Hadi mengemudi PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU akan datang.
Perwakilan membuat pilihan sedemikian kerana menyifatkan mereka sebagai gandingan terbaik untuk misi berkenaan. Sebuah misi yang mampu mengubah landskap politik Malaysia dan menjanjikan pembaharuan-pembaharuan yang didahagakan oleh rakyat, Islam dan bukan Islam.

Posted on June 6, 2011, in Pakatan Rakyat. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Comments are closed.

%d bloggers like this: